LATIHAN TATABAHASA DAN ISTILAH
Setiap ayat mengandungi satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Betulkan ayat tersebut dengan menulis semula ayat tersebut.
1. “Adakah menu yang dihidangkan oleh tukang masak di hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut.
Jawapan: “Apakah menu yang dimasak oleh tukang masak di hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut.
2. Bapa saudaranya memperoleh pendapat yang agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dia buat.
Jawapan: Bapa saudaranya memperoleh pendapatan yang agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dia usahakan.
3. Biarpun wajah kedua-dua pemuda itu agak sempadan, tetapi perangai pemuda bertubuh gempal itu lebih baik dari seorang pemuda lagi.
Jawapan:Biarpun wajah kedua-dua pemuda itu agak sepadan, tetapi perangai pemuda bertubuh gempal itu lebih baik daripada seorang pemuda lagi.
4. Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah di atas tuduhan memalapkan wang syarikat tersebut.
Jawapan: Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menggelapkan wang syarikat tersebut.
5. Azmir tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan menjajah ke seluruh negeri Melaka yang syarikat itu anjurkan.
Jawapan: Azmir tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan menjelajah ke seluruh negeri Melaka yang dianjurkan oleh syarikat itu.
6. Beribu ayam ternakan dimusnahkan oleh kerajaan Maxico akibat sindrom selsema burung yang menyerang di beberapa buah daerah di negara itu.
Jawapan:Beribu-ribu ayam ternakan dihapuskan oleh kerajaan Mexico akibat sindrom selsema burung yang menyerang di beberapa buah daerah di negara itu.
7. Semua mangsa tsunami dipindahkan oleh kami ke pusat petempatan sementara sebaik-baik menerima arahan daripada pihak berkuasa.
Jawapan:Kesemua mangsa tsunami dipindahkan kami ke pusat petempatan sementara sebaik menerima arahan daripada pihak berkuasa.
8. Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti.
Jawapan:Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris/laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kualiti.
9. Setelah meneliti semua syarat-syarat yang ditetapkan di dalam surat perjanjian oleh peguam, akhirnya Muzammil bersetuju untuk menulis surat perjanjian tersebut.
Jawapan:Setelah meneliti semua syarat yang ditetapkan di dalam surat perjanjian oleh peguam, akhirnya Muzammil bersetuju untuk menandatangani surat perjanjian tersebut.
10. Buku itu telah saya hantar ke pengirimnya semalam mengikut alamat yang tercatat pada bungkusan buku tersebut.
Jawapan: Buku itu telah saya hantar kepada penerimanya semalam mengikut alamat yang tercatat pada bungkusan buku tersebut.
11. Sebelum mesyuarat pada hari itu berakhir, pengerusi mesyuarat telah meminta pandangan ahli yang hadir untuk membincangkan lain-lain hal dan seterusnya menunda mesyuarat tersebut.
Jawapan: Sebelum mesyuarat pada hari itu bersurai, pengerusi mesyuarat telah meminta pandangan ahli yang hadir untuk membincangkan hal-hal lain dan seterusnya menunda mesyuarat tersebut.
12. Pada hari ini, masalah penggunaan dadah di kalangan remaja semakin membimbangkan dan jalan penyelesaian perlu segera diambil.
Jawapan: Pada masa kini, masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan dan jalan penyelesaian perlu segera diambil.
13. Pada masa kini, bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik puluh bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita.
Jawapan: Pada masa kini, bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah usang akan dibaik pulih bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita.
14. Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain.
Jawapan: Pemilik kilang yang masih berdegil dan membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitamkan supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain.
15. Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri.
Jawapan: Remaja-remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan tahap keselamatan diri mereka sendiri.
16. Ayah sangat gemarkan makanan yang dimasak oleh ibu terutamanya ayam goreng yang dibaluti tepung itu.
Jawapan: Ayah sangat menggemari makanan yang dimasak oleh ibu terutamanya ayam goreng yang disaluti tepung itu.
17. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam, akhirnya pemjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan.
Jawapan: Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh orang awam, akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka pengadilan.
18. Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara.
Jawapan: Peminat-peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang dipersembahkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara.
19. Mereka-mereka yang hadir ke majlis makan malam perdana pada malam itu dihiburkan dengan petikan biola seorang ahli muzik tanah air yang amat terkenal.
Jawapan: Mereka yang hadir ke majlis makan malam perdana pada malam itu dihiburkan dengan gesekan biola seorang ahli muzik tanah air yang amat terkenal.
20. Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan.
Jawapan: Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada di ibu negara berkenaan.
21. Seorang daripada peserta kereta lumba itu telah menarik diri daripada pertandingan kerana dua butir tayar kereta yang dipandunya meletup.
Jawapan: Seorang daripada peserta lumba kereta itu telah menarik diri daripada pertandingan kerana dua biji tayar kereta yang dipandunya meletup.
22. Tiap pagi hari minggu, ibu akan membangunkan kami daripada tidur dan mengajak kami berjoging di taman yang berhampiran.
Jawapan: Tiap-tiap pagi hari minggu, ibu akan mengejutkan kami daripada tidur dan mengajak kami berjoging di taman yang berhampiran.
23. Pekerja di kilang menjahit songket itu memberi syarahan kepada kami tentang perjalanan kilang tersebut sebaik sahaja kami sampai di situ.
Jawapan: Pekerja di kilang menenun songket itu memberi penerangan kepada kami tentang kegiatan kilang tersebut sebaik sahaja kami sampai di situ.
Comments
Post a Comment