LATIHAN PEMENGGALAN AYAt
Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini
supaya menjadi tiga ayat saja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat
tersebut.
Latihan 1:
Beberapa jenis
binatang liar menghuni hutan belantara negara kita. Binatang-binatang liar
tersebut menjadi penghuni hutan sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar
tersebut menghadapi kepupusan. Kepupusan ini berpunca daripada kegiatan
manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka. Kepupusan berpunca daripada
kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar
adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Penyelidikan terhadap hidupan liar
juga boleh dilakukan.
Jawapan:
Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara
kita sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan
berpunca daripada kegiatan manusia yang berburu sesuka hati mereka serta
berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung
kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran serta
penyelidikan terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.
Latihan 2:
Televisyen merupakan salah satu media sebaran am.
Televisyen direka untuk memberikan manfaat kepada manusia. Manfaat tersebut
adalah dalam pelbagai aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen
dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan
televisyen kepada masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut
menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat
mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap
hasil penyelidikan tersebut. Mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur
oleh adegan-adegan yang dipaparkan.
Jawapan:
Televisyen
merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk memberikan manfaat
kepada manusia dalam pelbagai aspek malangnya akhir-akhir ini kemunculan
televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan
terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan menunjukkan bahawa
adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat.
Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut
malah menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang
dipaparkan.
Latihan 3:
Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan
di televisyen. Rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM.
Rancangan-rancangan tersebut terdapat di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini
penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat. Hal ini
membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut
mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum
bijak menilai sesuatu yang baik. Mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk
juga.
Jawapan:
Unsur-unsur
keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen yang disiarkan oleh
RTM serta TV3. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak
keganasan itu meningkat sehingga membimbangkan ibu bapa kalau-kalau unsur-unsur
tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja.
Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik dan tidak
bijak menilai sesuatu yang buruk juga.
Latihan 4:
Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan
asas komputer. Pendidikan ini adalah untuk para pelajar di negara ini. Langkah
Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa. Hal ini kerana langkah
ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan. Kekosongan
tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar
langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari
komputer. Langkah ini diharapkan dapat menarik minat pelajar mendalami bidang
komputer juga.
Jawapan:
Kementerian
Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk para pelajar di
negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa
kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan
terutama sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar
langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari
komputer sekali gus dapat menarik minat pelajar mendalami bidang
komputer.
Latihan 5:
Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku. Buku ini
tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini dikarang oleh Darulsalam.
Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan
kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya. Mereka
bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa
disedari. Nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan
itu.
Jawapan:
Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku yang
tergolong dalam jenis novel kanak-kanak yang dikarang oleh Darulsalam terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang
budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya bercuti ke Pulau
Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari namun
nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.
Latihan 6:
Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat.
Kepesatan ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan ekonomi
Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke
sini. Kedatangan mereka adalah untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf
kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan. Keistimewaan-keistimewaan
itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
Jawapan:
Pembangunan yang
dicapai oleh Malaysia begitu pesat sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan
ekonomi Malaysia pula berterusan menyebabkan rakyat asing datang ke sini untuk
mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati
pelbagai keistimewaan yang disediakan namun keistimewaan-keistimewaan itu
dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
Latihan 7:
Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius. Keadaan
ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada
sifat haloba manusia. Manusia memperlakukan bumi sewenang-wenangnya. Tujuan
mereka berbuat demikian adalah untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini
mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil. Fenomena-fenomena tersebut
termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.
Jawapan:
Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius
mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada
sifat haloba manusia yang memperlakukan bumi sewenang-wenangnya untuk mengaut
keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena
ganjil termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.
Comments
Post a Comment